Email : info@suketv.com
Phone : +60 11 6068 8208
Pusat Seni Persembahan Jeffrey Cheah: Mercu Tanda Kebudayaan Baharu Asia Tenggara
Dari kiri:
1. Cho We Jun (曹维骏), Commercial Director, JCPAC
2. Zukhairi Ahmad, Guest
3. Datin Paduka Sarena Cheah (谢燕蒂), Executive Deputy Chairman, Sunway Group
4. Puan Sri Tiara Jacquelina, Guest
5. Dato’ Tan Kia Loke(拿督陈嘉禄), Senior Managing Director, Sunway Group
6. Melissa Teoh Yu Ching (张幼菁), Producing Artistic Director, JCPAC
7. Azrai Kamaruddin, General Manager, Enfiniti (M) Sdn Bhd

01 May 2026, 10:20am

• Musim perasmian, bermula dari Ogos 2026, mempersembahkan Puteri Gunung Ledang dan Butterfly Lovers, bersama produksi antarabangsa yang membuat penampilan pertama mereka di Malaysia.

• Lokasi bertaraf dunia untuk teater, muzik dan tarian ini menjadi nadi jiwa perbandaran bersepadu.

SUNWAY CITY KUALA LUMPUR — Pusat Seni Persembahan Jeffrey Cheah (JCPAC) yang dirasmikan pada 28 April 2026 (Selasa) merupakan kemuncak visi jangka panjang untuk menjadikan Sunway City Kuala Lumpur sebagai hab seni persembahan serantau.


Timbalan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Sunway, Datin Paduka Sarena Cheah berkata, lokasi baharu ini mencerminkan keyakinan teguh terhadap elemen yang melengkapkan sesebuah perbandaran.


“Seperti yang sering ditekankan oleh pengasas dan pengerusi kami, Tan Sri Dato' Seri Dr. Jeffrey Cheah, sebuah bandar yang makmur bukan sekadar bergantung pada pembangunan fizikal, bahkan pada jiwa masyarakatnya juga. Pusat Seni Persembahan Jeffrey Cheah mewakili nadi kepada Sunway City Kuala Lumpur, yang membantu membentuk identiti perbandaran seiring dengan pembangunan komersial kami.


Kami berharap pusat seni persembahan ini akan berdiri kukuh sebagai salah sebuah mercu tanda paling ikonik di Asia Tenggara, di mana pelbagai lapisan masyarakat boleh berkumpul, mendapat inspirasi dan menghayati seni budaya sebagai sebahagian daripada kehidupan seharian. Lokasi ini menambah dimensi budaya yang amat penting kepada ekosistem bertenaga yang telah kami bina di sini selama beberapa dekad,” kata Sarena.

Photo 3
Dari kiri:
1. Ng Beng Lean, Group Registrar, Sunway Education 
2. Foo Shiang Wyne, Chief Human Resources Officer, Sunway Group 
3. Nik Tasha Nik Kamaruddin, Chief Brand Strategy Officer, Sunway Group 
4. Melissa Teoh, Producing Artistic Director, JCPAC
5. Datin Paduka Sarena Cheah, Executive Deputy Chairman, Sunway Group
6. Prof. Elizabeth Lee, Chief Executive Officer, Sunway Education
7. Ong Pang Yen, Executive Director of Chairman’s Office, Sunway Group 
8. Cho We Jun, Commercial Director, JCPAC
9. Prof. Mayco Axel Santaella, Dean of the Faculty of Arts and Social Sciences, Sunway Education 
10. Hum Jiann Soon, Assistant General Manager, Sunway Property 

JCPAC berfungsi sebagai paksi kebudayaan bagi sebuah perbandaran yang telah mengalami transformasi daripada tanah lombong bijih timah terbiar menjadi perbandaran hijau bersepadu sepenuhnya yang pertama di Malaysia, menyantuni komuniti yang terdiri daripada lebih 200,000 penduduk yang menghuni, belajar, bekerja dan beriadah di sini hari ini.


Bertapak di Sunway Square, sebuah pembangunan bersepadu yang turut menempatkan menara pejabat komersial kembar, pusat beli-belah Sunway Square Mall, serta kampus baharu Sunway University sebagai lanjutan pelan perkembangan (merangkumi Sekolah Perniagaan Sunway serta Fakulti Seni dan Sains Sosial).


JCPAC akan dibuka pada Ogos 2026 dengan musim perasmian yang berlangsung sehingga Januari 2027, diterajui oleh dua produksi utama.


Puteri Gunung Ledang The Musical, yang diiktiraf sebagai muzikal berskala besar pertama Malaysia dan salah sebuah epik pentas paling diraikan di negara ini, bakal membuka tirai musim ini setelah hampir dua dekad tidak dipentaskan. Ia akan disusuli dengan Butterfly Lovers The Musical produksi oleh Dama Asia, sebuah pementasan semula sempena ulang tahun kedua puluhnya. Dua produksi antarabangsa akan turut membuat penampilan sulung mereka dan akan diumumkan kelak.


Pengarah Artistik Produksi JCPAC, Melissa Teoh berkata, musim perasmian ini dirangka untuk mencerminkan identiti serta aspirasi pusat berkenaan.


“Kami mahu musim pembukaan ini mencerminkan siapa kami dan aspirasi kami, sebagai sebuah ruang untuk artis Malaysia berkembang maju dan menjadi pintu gerbang kepada persembahan global yang terunggul. Program kami mencerminkan komitmen dwifungsi ini, menghimpunkan karya yang berteraskan budaya tempatan, di samping produksi antarabangsa yang mampu meluaskan perspektif serta menetapkan penanda aras kecemerlangan.


Kami percaya sesebuah pusat seni persembahan harus mencerminkan kekayaan komuniti yang disantuninya. Hasil kerja kami merangkumi bidang teater, muzik, tarian, filem, komedi dan bentuk seni baharu, bagi mewujudkan ruang untuk pelbagai suara dan lapisan penonton. Pendidikan dan pembangunan penonton merupakan tunjang usaha kami, dengan program khusus untuk golongan belia, keluarga dan artis baharu yang dapat memupuk rasa ingin tahu serta membina penonton masa hadapan. Pusat seni persembahan ini diilhamkan sebagai lebih daripada sekadar sebuah pentas. Ia adalah tempat untuk meneroka, berkumpul dan berhubung melalui kisah yang dikongsi bersama,” kata Teoh.


JCPAC merangkumi sebuah Teater Prosenium dengan 1,200 tempat duduk dan sebuah Teater Eksperimen dengan 150 tempat duduk.


Teater Prosenium ini akan menampilkan sistem Akustik Aktif pertama di Malaysia, yang mampu menala tindak balas akustik dewan secara elektronik agar sesuai dengan pelbagai jenis persembahan, berserta ruang layar pentas (fly tower) bersaiz penuh untuk menyokong pertukaran latar pentas yang kompleks.


Lokasi ini direka khusus untuk menganjurkan teater muzikal, konsert orkestra, drama dan acara korporat, serta menyokong persembahan tempatan mahupun berskala antarabangsa. Ia juga akan dihubungkan dengan kawasan perbandaran yang lebih luas melalui Laluan Kanopi (Canopy Walk) dan laluan Transit Aliran Bas (BRT) Sunway.


Melangkaui dua produksi utama tersebut, musim perasmian ini menampilkan pelbagai program karya tempatan. Pelawak Kuah Jenhan akan membuka pentas dengan persembahannya, diikuti konsert oleh Selangor Philharmonic Orchestra, siri tayangan filem terkurasi bersama Goggler, festival gendang Kaleidoscope 8 oleh HANDS Percussion, karya tarian baharu oleh Kenny Shim yang diinspirasikan daripada filem Sepet arahan Yasmin Ahmad, serta pelbagai bengkel dan inisiatif komuniti.


Visi penubuhan JCPAC adalah untuk menjadi pusat seni persembahan bertaraf dunia yang membawa budaya global ke ambang pintu Malaysia, di samping menyediakan platform untuk mengangkat bakat tempatan ke persada antarabangsa, memperkaya perbandaran melalui seni dan kemanusiaan, serta memperjuangkan pendidikan sebagai asas bagi sebuah masyarakat yang lebih bertenaga, berdaya fikir dan berinspirasi.

YPL circle

Web Edited by YAN PHENG LIANG

yanphengliang@suketv.com

Others also read